Adik
Detik itu datang kembali. Tarikh yang takkan pernah aku lupakan. Tarikh itu sangat istimewa. Hari lahir si dia. Dia yang melaluinya Allah telah banyak mengajarku.mengajarku erti hidup. Mengajarku erti berdikari. Mengajar aku erti pengorbanan, erti belas, erti kasih dan sebagainya. Dialah adikku. Ya, adikku!
Jika ditanyakan jarak usia antara kami, jarak kami jauh berbeza. Sepuluh tahun berbeza. Tapi sungguh dia telah banyak mendidik diri ini.
Aku masih ingat saat dia bakal dilahirkan. Ketika itu aku di sekolah rendah. Aku dan adik beradik yang lain dijaga oleh ibu saudara kami kerana ibu punya komplikasi dengan kandungannya. Bukan sehari dua tapi hampir dua bulan! Dalam tempoh dua bulan itu juga, kami tak dapat beraya bersama ibu kerana ibu berada di hospital.
Setelah dia dilahirkan, doktor yang merawat mendapati adik bukan seperti kanak-kanak lain. Dia dikategorikan sebagai kanak-kanak cerebral palsy. Diawal kelahirannya hampir setiap minggu ibu dan ayah harus berulang alik ke hospital. Tiga tahun pertama hidupnya hampir setiap enam bulan pasti dia akan di masukkan ke wad atas pelbagai masalah kesihatan. Pernah beberapa kali adik diserang sawan. Sepanjang tempoh dia di dalam wad, ibu setia menemani di hospital. Beberapa minggu ibu tiada di rumah. Menemani adik yang dirawat di hospital. Tinggallah aku dan adik beradikku yang lain di rumah bersama ayah. Demi meneruskan pencarian nafkah untuk keluarga ayah terus bekerja seperti biasa. Makan minum kami adik beradik selepas usai waktu persekolahan, telah ayah sediakan sebelum melangkah ke tempat kerja. Adakalanya ayah beli makanan dari luar. Tapi pernah juga kami adik beradik masak sendiri. Alhamdulillah ibu didik kami agar tahu untuk buat kerja rumah. Dalam umur pelajar sekolah rendah itu, aku sudah mampu untuk tanak nasi, menggoreng ikan, tumis sayur, masak sambal, kemas rumah, menyapu, dan beberapa kerja rumah yang ringkas yang lain. Praktikalnya, nak atau tak kami adik beradik mesti tahu dan mesti buat kerja rumah setiap kali adik tinggal di ‘rumah keduanya’ (wad). Kami telah diajar agar berdikari dan sedar bahawa hidup ini bukan sekadar sebuah kisah dongeng kanak-kanak yang penuh dengan keindahan serta segala kehendak hati akan menjadi milik kita. Tapi hidup ini penuh liku dan seharusnya diri ini bersedia dengan kelengkapan secukupnya. Dan kami juga diajar bahawa nikmat kesihatan itu andai ingin ditarik, dalam sekelip mata, dengan sekali lafaz “jadilah” maka segala nikmat itu akan hilang.
Pernah dalam sayup malam, ibu mengejutkan aku dari lena. Dengan muka yang resah ibu mengamanahkan aku agar menjaga adik yang lain kerana adik diserang sakit dan perlu di bawa ke hospital. Kami adik beradik yang lain turut resah. Malam kami disirami air mata yang bergenang. Mengharapkan tiada perkara buruk menimpa adik. Pada saat itu kami diajar olehNya bahawa tiada tempat bermohon dan berharap yang terbaik melainkan dariNya.
Kondisi adik sebagai kanak-kanak OKU juga banyak menyedarkan kami. Banyak menyedarkan aku agar jangan pernah memandang rendah atau merasa jijik dengan mereka yang kurang bernasib baik, yang ALLAH timpakan ke atas mereka berbentuk ujian. Jangan pernah jijik dan memandang rendah mereka yang cacat, terencat akal, ditimpa penyakit kulit dan sebagainya.
Adik kini sihat, Alhamdulillah. Walaupun masih tidak mampu berjalan mahupun berdiri seperti insan lain tapi secara keseluruhannya dia sihat sebagai dirinya. Mampu untuk makan tidak mengira semua jenis makanan. Faham akan setiap butir patah perkataan. Dalam percakapan pertuturannya mungkin tak jelas namun bagi kami yang sering bersamanya bahasanya itu kami faham. Malah adakalanya adik sangat petah, riuh satu rumah dengan karenahnya.Teringat aku pada tahun sebelumnya, adik minta ibu masakkan nasi ayam untuknya sempena hari lahirnya. dan dia juga minta agar diadakan sambutan kecil kecilan untuknya. Dengan aku pula, dituntut hadiah berupa baju berwarna oren supaya sama dengan warna kucing kesayangannya Si Oren. Oh ya, apa pula yang akan dimintanya kali ini, ya?
Serta merta tanganku menggapai telefon bimbit. Nombor telefon ibu aku dail. Menanti suara-suara yang amat aku rindui untuk menyapa telinga.
sekian
No comments:
Post a Comment